KRITIKAN TERHADAP FILEM

 KRITIKAN TERHADAP FILEM KOREA ‘’MOUSE’’


Drama berseries dari Korea yang bertajuk “Mouse” ialah sebuah drama yang menggabungkan elemen suspens, psikologi dan drama sosial serta misteri jenayah secara mendalam dan intelektual. Drama yang yang disiarkan pada tahun 2021 ini, mengangkat persoalan “adakah psikopat dilahirkan atau dicipta oleh persekitaran?”. Keberanian pengarah dan penulis skrip dalam membongkar isu-isu kontroversi seperti genetik dan kejahatan manusia seharusnya dipuji. Drama ini bukan hanya sekadar sebuah bentuk hiburan tetapi mengajak penonton untuk bersama-sama menyelesaikan teka-teki di setiap episod dengan teori masing-masing. Hal ini menjadikan penonton tidak sabar untuk menonton episod seterusnya kerana ingin mengetahui jawapan sekali gus menaikkan rating drama ini.


Kekuatan utama Mouse ialah jalan ceritanya yang kreatif dan penuh suspens. Setiap episod disusun rapi dengan pelbagai plot twist dan watak-wataknya yang mudah kita dekati namun dalam masa yang sama mencabar untuk difahami kerana setiap satunya mempunyai kisah tersendiri. Hal ini membuatkan penonton sentiasa berdebar di hujung kerusi, menggigit bibir menanti misteri terungkai. Drama ini juga berjaya menggabungkan sains dan drama emosi secara seimbang yang bukan sahaja untuk renungan tetapi pembelajaran. Selain itu, terdapat babak yang membawa penonton berperang dengan minda untuk mencari jawapan iaitu di mana muncul persoalan “Jika kita dapat mengesan gen psikopat sejak kecil, patutkah kita mencegah mereka daripada dilahirkan?”. Persoalan ini menjadikan penonton berbelah bahagi antara seseorang bergenetik psikopat itu perlu diberi peluang memandangkan masih tidak ada kepastian bahawa dia akan membesar sebagai seorang yang berbahaya dengan pandangan kita perlu mencegah keburukan itu walaupun ianya melibatkan pengguguran.


Seterusnya dari aspek mutu lakonan para pelakon Mouse perlu dipuji terutamanya watak utama Lee Seung-gi yang luar biasa kehebatannya apabila berjaya mentransformasi wataknya dari seorang polis yang naif kepada individu yang keliru dan mengalami gangguan mental. Emosi disampaikan berjaya membawa penonton berada di situasinya dan menjadikan penonton tertanya-tanya tentang kebenaran yang tersembunyi. Lakonannya berjaya meyakinkan penonton hingga saat akhir bahawa dia ialah watak baik dan di saat kebenaran terbongkar dia berjaya memadamkan gambaran seorang pemuda baik itu dari ingatan penonton apabila babak psikopatnya ditunjukkan.


Dari aspek teknikal, Mouse berjaya menyerlah dengan sinematografi dan pencahayaan yang banyak membantu dalam membina suasana misteri dan simbolik tertentu. Pemilihan muzik latar juga memainkan peranan menambah intensiti emosi dalam babak- babak penting. Kesan visual dan bunyi yang digunakan berhasil menggambarkan konflik dalaman dan menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam sehinggakan penonton tidak sempat menutup mata kerana bimbang tertinggal klu-klu kecil yang boleh membantu menjawab persoalan mereka. Hal ini membuktikan industri hiburan Korea sangat kreatif dan menggunakan segala usaha mereka dalam menghasilkan persembahan yang baik.


Secara keseluruhannya, Mouse bukan sahaja sekadar drama menghiburkan tetapi karya seni yang kreatif dalam menyampaikan mesej sosial yang mendalam serta mencabar minda penonton. Ia mengangkat tema psikologi dan etika sains secara serius tanpa membiarkan drama antara watak menenggelamkan tema ini. Mouse membuktikan bahawa drama Korea bukan hanya tentang fiksi romantik klise sahaja bahkan mampu mendominasi seluruh genre hiburan.

Comments

Popular Posts