KRITIKAN TERHADAP DUNIA HIBURAN
KRITIKAN TERHADAP DUNIA HIBURAN
Dunia hiburan bagaikan sebuah pentas besar yang dihiasi lampu yang menjadikan penonton tertumpu ke atas pentas sambil bersorak gembira. Namun pentas yang gilang-gemilang itu menyimpan pelbagai rasa dan cabaran di sebalik birai tirainya. Dalam zaman penuh kemodenan ini hiburan bukan sahaja sumber kegembiraan tapi turut membentuk budaya dan pemikiran masyarakat. Ibarat ibu bapa yang menganggap kartun di televisyen membawa pengaruh kepada anak kecil mereka, begitu jugalah dunia hiburan meracuni tingkah laku masyarakat tanpa mengira usia. Namun dapat dilihat sejak kebelakangan ini dunia ini semakin sarat dengan kontroversi dan pencemaran nilai moral. Kritikan negatif dari seorang penonton bukanlah hanya untuk memburuk-burukkan, tetapi sebagai usaha menyedarkan semua pihak tentang pentingnya batas dalam kebebasan berkarya. Pelbagai nilai tidak bermoral yang dapat diutarakan dalam membahas dunia hiburan ini.
Salah satu isu hangat namun tidak diambil endah oleh pihak bertanggungjawab adalah batasan pergaulan antara artis lelaki dan wanita. Tidak dapat dinafikan babak-babak bersentuhan secara romantis itulah yang berjaya menarik minat penonton namun sejauh manakah garis batasnya? Sebagai sebuah negara Islam, wajarkah masyarakat Malaysia membiarkan hubungan tanpa batas ditampilkan secara terbuka, baik di media sosial mahupun kaca televisyen. Sebagai pempengaruh yang membawa imej negara sepatutnya mereka menjunjung tinggi nilai adab dan agama. Meskipun babak itu dilakonkan sebagai sepasang suami isteri tetapi di sebalik kaca mereka adalah dua insan tanpa ikatan. Oleh itu, sudah sampai artis diberi pendedahan tentang pentingnya menjaga batas pergaulan agar industri ini tidak terlihat sebagai medan kebebasan tanpa nilai moral.
Selain itu, demi mengejar perhatian dan populariti terdapat segelintir artis wanita yang sanggup mengetepikan suruhan agama dan memilih untuk berpakaian yang menjolok mata. Kononnya ingin mengekspresikan diri namun tidak sewajarnya penampilan seksi ini dipertontonkan secara terbuka kerana ianya bukan sahaja mencerminkan diri artis tetapi turut mencerminkan tahap kepekaan industri terhadap sensitiviti masyarakat. Tidak salah untuk bergaya demi menunjukkan imej artis yang sentiasa menawan dan menarik namun janganlah melampaui batas. Seni yang sebenar seharusnya meninggikan maruah dan nama bukan meruntuhkan nilai diri.
Fenomena gosip dalam kalangan artis bukanlah perkara baharu, ianya menjadi lumrah dimana-mana pasti kehidupan artis menjadi perhatian orang ramai. Seiring dengan perkembangan penggunaan teknologi, media sosial semakin panas dilimpahi gosip-gosip artis yang tular seolah-olah ianya rutin harian masyarakat. Pelbagai kisah peribadi dari percintaan hinggalah pergaduhan dijadikan bahan hiburan dan umpatan. Lebih membimbangkan apabila ramai pengguna berlumba-lumba menjadi ‘wartawan tidak bertauliah’ menyebar fitnah tanpa mengkaji terlebih dahulu. Keadaan ini bukan sahaja merosakkan reputasi artis bahkan menjadikan masyarakat semakin hilang sensitiviti terhadap privasi dan perasaan individu lain.Dunia hiburan akhirnya menjadi medan penghakiman tanpa belas, di mana setiap langkah artis diawasi dan dinilai secara berlebihan. Sewajarnya, media dan peminat lebih fokus kepada karya dan pencapaian seni, bukan hal peribadi yang tiada nilai tambah kepada pembangunan intelektual mahupun spiritual.
Kritikan terhadap dunia hiburan bukanlah untuk menunjukkan kesempurnaan diri ini sehingga mampu menuding kesalahan orang lain namun untuk memberi kesedaran kepada semua kelompok masyarakat termasuk diri sendiri. Artis yang secara tidak langsung merupakan figura awam perlu lebih peka terhadap tanggungjawab sosial kerana setiap tindakan dan ucapan mereka mampu mempengaruhi jutaan peminat. Dengan cara ini, hiburan bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat berilmu dan beretika.
Comments
Post a Comment